Keluarga mangsa tanah jerlus Masjid India mohon sijil kematian dikeluarkan

27 Feb 2026, 8:39 AM
Keluarga mangsa tanah jerlus Masjid India mohon sijil kematian dikeluarkan

KLANG, 27 FEB: Keluarga kepada wanita warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2024 memohon kerajaan supaya mengeluarkan sijil kematian bagi membolehkan urusan tuntutan pampasan dimulakan.

Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi yang mewakili keluarga berkenaan berkata status mangsa, G. Vijaya Lakshmi, 48, yang berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, masih diklasifikasikan sebagai orang hilang menyebabkan sijil kematian belum dapat dikeluarkan.

Beliau berkata permohonan bertulis telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara pada 24 Feb lepas untuk membolehkan sijil kematian berkenaan dikeluarkan.

“Hanya dengan sijil kematian, sebarang tuntutan pampasan boleh dimulakan secara sah dan teratur mengikut kerangka perundangan sedia ada. Justeru, selagi status mangsa kekal sebagai orang hilang, keluarga atau waris tidak mempunyai ruang perundangan untuk meneruskan tuntutan atau melengkapkan urusan rasmi lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Saifullah berkata setakat ini, tiada tindakan mahkamah difailkan untuk menuntut pampasan kerana pihaknya mahu memberikan ruang kepada rundingan dengan kementerian dan agensi berkaitan terlebih dahulu.

Sementara itu, seorang lagi peguam M. Partiben berkata anak tunggal mangsa M. Surya, 27, berdepan dengan tekanan kewangan termasuk hutang bank yang memerlukan pengesahan rasmi kematian bagi tujuan penyelesaian pinjaman.

Beliau berkata mendiang sebelum ini mempunyai pinjaman bank berjumlah RM8,546.51 selain pinjaman wang tidak berlesen yang mencecah antara RM40,000 hingga RM45,000.

“Waris sebelum ini menerima sumbangan ihsan RM30,000, namun sumbangan berkenaan tidak boleh disamakan dengan pampasan yang sewajarnya dipertimbangkan susulan insiden ini,” katanya.

Surya berkata ini merupakan kali ketujuh dia datang ke Malaysia sejak 2024 bagi mengurus perkara berkaitan, dengan kos keseluruhan mencecah lebih RM50,000 atau kira-kira RM8,000 bagi setiap perjalanan.

Surya merayu kepada pihak berkuasa Malaysia supaya mempercepat proses pengeluaran sijil kematian ibunya bagi memudahkan urusan pampasan dan penyelesaian hutang di India.

Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024, mangsa dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India dan operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama sembilan hari sebelum dihentikan sepenuhnya selepas mengambil kira faktor keselamatan pasukan penyelamat.