PETALING JAYA, 27 FEB: Seramai 1,200 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sepanjang 2025 hingga Februari tahun ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata daripada jumlah tersebut, 1,138 tangkapan direkodkan sepanjang tahun lalu manakala 62 lagi melibatkan operasi pada Januari dan Februari tahun ini.
“Tindakan-tindakan penguatkuasaan yang dijalankan adalah berdasarkan kepada perundangan yang diguna pakai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pada Mesyuarat Penuh Kedua MBPJ Tahun 2026 yang dipengerusikannya di ibu pejabat MBPJ di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi Februari sahaja, sebanyak tiga operasi bersepadu dijalankan membabitkan 236 semakan premis dan aktiviti penjaja di sekitar Petaling Jaya.
“Operasi tersebut turut menyaksikan tujuh tindakan sitaan, 29 kompaun serta 10 notis dikeluarkan selain dua premis perniagaan diarahkan tutup,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang tahun lalu sebanyak 18 operasi penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan dengan 289 semakan premis direkodkan.
“Dalam tempoh sama, 91 tindakan sitaan diambil, 44 kompaun serta 14 notis dikeluarkan dan 60 premis perniagaan diarahkan tutup,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru peniaga dan majikan supaya mematuhi undang-undang serta syarat lesen yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas.
“MBPJ akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan secara efektif dan holistik bagi memastikan tadbir urus bandar yang lebih teratur, berintegriti dan mampan demi kesejahteraan warga Petaling Jaya,” katanya.








