MB santuni penjawat awam dalam Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan petang ini

27 Feb 2026, 12:40 AM
MB santuni penjawat awam dalam Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan petang ini

SHAH ALAM, 27 FEB: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari akan bersama penjawat awam negeri dalam Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, petang ini.

Majlis itu dijadual bermula pada jam 5.30 petang.

Menurut Amirudin, program berkenaan menjadi ruang untuk memperkukuh ukhuwah, menyantuni nilai ihsan serta memperteguh silaturahim antara kepimpinan negeri dan warga perkhidmatan awam.

“Insya-Allah, semoga pertemuan ini menguatkan lagi komitmen kita untuk terus berkhidmat dengan amanah dan berintegriti,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan dianjurkan bagi menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan di samping mengeratkan hubungan dalam kalangan penjawat awam Selangor.

Program itu turut diserikan dengan pengisian kerohanian dan majlis berbuka puasa sebagai simbol kebersamaan serta kesepaduan warga pentadbiran negeri.

Majlis berkenaan boleh diikuti secara siaran langsung menerusi laman web serta platform YouTube dan Facebook Media Selangor.