SHAH ALAM, 27 FEB: Mikroplastik yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pencemaran alam sekitar kini dikenal pasti sebagai ancaman kesihatan serius selepas zarah halus itu dikesan dalam organ penting manusia termasuk paru-paru dan otak.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Nurhayati Khairatun berkata saiz mikroplastik yang terlalu halus menyukarkan ia dikesan.
Bagaimanapun, katanya, partikel tersebut berupaya memasuki tubuh manusia melalui pemakanan, minuman dan pernafasan.
“Mikroplastik ialah serpihan plastik bersaiz kurang daripada lima mikrometer yang terhasil daripada penguraian bahan plastik lebih besar dan tersebar meluas dalam persekitaran.
“Disebabkan saiznya yang sangat kecil, mikroplastik sukar dikesan dan boleh memasuki tubuh manusia melalui makanan, air minuman serta udara yang disedut,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Mikroplastik masuk melalui rantaian makanan
Menurut beliau, pendedahan juga berlaku melalui rantaian makanan, khususnya pengambilan makanan laut seperti ikan, udang dan kerang-kerangan yang terdedah kepada pencemaran plastik di perairan.
Katanya, kajian antarabangsa mendapati pendedahan jangka panjang berpotensi menyebabkan keradangan sel, gangguan sistem pencernaan serta menjejaskan penyerapan nutrien.
“Mikroplastik yang memasuki usus boleh menyebabkan keradangan pada dinding usus dan mengganggu penyerapan nutrien walaupun seseorang mengambil makanan berkhasiat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan partikel itu mampu menembusi halangan sel sebelum bergerak melalui aliran darah ke organ penting.
“Kajian mendapati mikroplastik telah dikesan dalam paru-paru, jantung dan plasenta yang berpotensi menjejaskan kesihatan ibu mengandung serta tumbesaran janin,” katanya.

Tiga golongan lebih terdedah risiko
Mengulas lanjut, Siti Nurhayati berkata semua individu terdedah kepada mikroplastik, namun kanak-kanak, ibu hamil dan golongan dewasa yang mengamalkan gaya hidup serta pemakanan segera lebih mudah menerima kesannya.
"Sistem tubuh dan organ kanak-kanak masih berkembang, jadi mereka lebih sensitif terhadap bahan asing seperti mikroplastik.
"Ibu mengandung pula mengalami perubahan hormon serta kemungkinan pendedahan kepada janin, memandangkan terdapat kajian mengesan kehadiran mikroplastik pada plasenta," katanya.
Beliau berkata, individu yang kerap mengambil makanan segera atau menggunakan bekas plastik untuk makanan atau minuman panas juga perlu lebih berhati-hati.
"Penggunaan bekas plastik untuk makanan dan minuman panas boleh meningkatkan pelepasan partikel mikroplastik kerana suhu tinggi mempercepatkan proses tersebut," jelasnya.

Benarkah uncang teh lepaskan mikroplastik?
Mengenai isu uncang teh yang dikaitkan dengan mikroplastik, beliau menegaskan tidak semua produk berisiko kerana tahap pendedahan bergantung kepada jenis bahan yang digunakan dalam pembuatannya.
“Tidak semua uncang teh mengandungi plastik. Jika uncang diperbuat daripada bahan selain plastik, maka risikonya rendah atau tiada.
“Terdapat jenama yang tidak menggunakan plastik sebagai sebahagian daripada bahan pembungkusan, dan ini menunjukkan amalan industri yang lebih bertanggungjawab.
“Jadi tidak tepat untuk mengatakan semua uncang teh berisiko melepaskan mikroplastik kerana ia bergantung kepada jenis bahan yang digunakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan isu mikroplastik memerlukan tindakan kolektif melibatkan pengguna, peniaga, industri dan pihak berkuasa.
“Walaupun penggunaan plastik tidak dapat dielakkan sepenuhnya, langkah mengurangkan plastik sekali guna, memilih pembungkusan gred makanan dan memperkukuh penguatkuasaan dasar mampu mengurangkan risiko pendedahan kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, tahap kesedaran masyarakat di Malaysia mengenai bahaya mikroplastik masih rendah dan perlu dipertingkatkan melalui pendidikan serta dasar yang lebih tegas.




