SHAH ALAM, 26 FEB: Tindakan seorang individu memuat naik imej memijak kitab suci al-Quran di media sosial baru-baru ini disifatkan amat biadab, menghina agama Islam serta mengganggu sensitiviti dan keharmonian masyarakat negara ini.
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi mengecam sekeras-kerasnya perbuatan itu dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap individu terbabit, dipercayai penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan individu yang memuat naik imej memijak kitab suci al-Quran di platform Threads menggunakan nama @ryandaselva.
”Tindakan menghina kesucian agama Islam atau mana-mana agama sewajarnya dikenakan hukuman tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Najwan menegaskan, tindakan tegas adalah ikhtibar kepada masyarakat agar menghormati agama dan kepercayaan orang lain, serta memastikan tiada individu melakukan perbuatan yang menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
Beliau turut menyeru pihak UMPSA mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga reputasi institusi pengajian tinggi awam tersebut.
Sejak 24 Februari, tular di media sosial gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran beserta tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut universiti awam di Kuantan, sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat dan kecaman meluas dalam kalangan masyarakat.
“Keharmonian dan perpaduan antara kaum adalah keutamaan dan wajib dipertahankan oleh semua pihak,” tambah beliau.




