AMPANG JAYA, 25 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) segera memotong dan membersihkan pokok tumbang yang menghalang laluan awam di Taman Ampang Utama, pagi tadi.
Pihak berkuasa tempatan itu memberitahu tindakan pantas itu bagi memastikan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara, serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Kerja-kerja pembersihan tersebut dijalankan antara jam 10 hingga 11 pagi oleh Bahagian Penguatkuasaan sejurus menerima aduan daripada penduduk setempat,” menurut MPAJ dalam hantaran di Facebook.
MPAJ menambah pihaknya sentiasa tekad memastikan persekitaran selamat dan kondusif, khususnya dalam menangani pokok berisiko yang berpotensi membahayakan komuniti jika tidak ditangani segera.
"Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan pokok berisiko atau sebarang isu keselamatan awam melalui saluran rasmi MPAJ, termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam atau talian bebas tol 1-800-22-8100, bagi membolehkan tindakan segera diambil demi kesejahteraan bersama," katanya.




