KUALA LUMPUR, 25 FEB: Malaysia berdepan fenomena beban berganda mal pemakanan yang semakin ketara apabila 54.4 peratus dewasa berumur 18 tahun ke atas mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti, sekali gus menuntut pembetulan struktur terhadap dasar dan persekitaran makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Kesihatan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkata berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 29.2 peratus dewasa menghadapi hipertensi, 33.3 peratus mempunyai kolesterol terlalu tinggi dan 15.6 peratus menghidap diabetes mellitus.
“Isu pemakanan bukan sekadar soal pilihan individu atau selera peribadi, tetapi merupakan asas kepada kesihatan negara, produktiviti, ekonomi dan masa depan generasi Malaysia,” katanya ketika membentangkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Kesihatan mengenai Pemantapan Dasar Pemakanan dan Intervensi Nutrisi di Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Suhaizan, hasil pertemuan jawatankuasa dengan pakar, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pengamal perubatan mendapati negara berdepan mal pemakanan dalam bentuk terlebih atau terkurang nutrisi yang tidak seimbang dan memerlukan perhatian segera.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya telah menjadi pola kesihatan populasi, malah 35.9 peratus dewasa mengalami sindrom metabolik dan lebih setengah juta dewasa dikenal pasti hidup dengan empat NCD serentak iaitu obesiti, diabetes, hipertensi dan hiperkolesterolemia.
Pada masa sama, beliau berkata hampir 2.3 juta dewasa dilaporkan hidup dengan tiga NCD serentak yang menjejaskan produktiviti dan kualiti hidup serta menambah beban perkhidmatan kesihatan secara berpanjangan.
Sehubungan itu, Suhaizan berkata jawatankuasa berkenaan mengemukakan 10 syor strategik melibatkan kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan serta pihak berkepentingan bagi memperkukuh dasar dan pelaksanaan agenda pemakanan negara secara menyeluruh.
Antara syor dikemukakan ialah memperkukuh pelaksanaan Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 3.0, memperkasakan mekanisme fiskal termasuk pelaksanaan cukai minuman bergula serta pemansuhan subsidi gula dengan penyaluran semula kepada agenda kesihatan awam, selain memperluas saringan dan pengurusan penyakit berkaitan malnutrisi (DRM) di hospital dan penjagaan primer.
“Reformasi pemakanan memerlukan keberanian dasar dan komitmen berterusan. Jika negara gagal menangani beban berganda mal pemakanan termasuk peningkatan berlebihan berat badan dan obesiti, negara akan mewariskan generasi akan datang satu sistem kesihatan yang terbeban dan potensi insan terjejas,” katanya.
Sementara itu, Chong Zhemin (PH-Kampar) ketika membahaskan penyata itu berkata Malaysia kini berdepan krisis kesihatan serius apabila kos rawatan obesiti dan penyakit berkaitan diet dianggarkan mencecah kira-kira RM70 bilion setahun, iaitu hampir dua kali ganda daripada keseluruhan belanjawan tahunan KKM bagi 2026 berjumlah RM46.5 bilion.
Justeru, beliau mencadangkan pelaksanaan kempen revolusi diet nasional bagi menggalakkan penggantian sebahagian nasi putih dengan beras perang atau ubi keledek untuk mengurangkan lonjakan gula drastik dalam darah, selain melaksanakan kempen nasional latihan kekuatan bagi membina jisim otot rakyat Malaysia.
"Latihan kekuatan membina jisim otot meningkatkan kadar metabolisme asas badan. Ini bermakna badan membakar lebih banyak kalori sepanjang masa walaupun ketika duduk atau tidur. Dengan lebih banyak otot, badan menjadi lebih cekap membakar lemak," katanya.
Pada masa sama, Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata pemakanan berlebihan serta ketidakseimbangan bukan sahaja membawa masalah penyakit kolestrol dan jantung, tetapi juga masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.
“Kalau kita bandingkan kadar bantut kanak-kanak di Malaysia, dalam 25 tahun yang lepas, kadarnya meningkat 20 hingga 24 peratus. Sementara negara lain seperti Bangladesh, Kemboja, Filipina, semua turun, Malaysia sahaja yang semakin naik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata isu tersebut memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat selain mencadangkan kerjasama antara kementerian untuk mewujudkan polisi dan program pemakanan lebih berkesan.




