SHAH ALAM, 25 FEB: Kerajaan Negeri melaksanakan tiga tindakan bersepadu susulan gangguan bekalan elektrik di Flat Taman Permata, Dengkil, Sepang yang dikenal pasti berpunca daripada penyambungan elektrik secara tidak sah.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata kerja pembaikan sementara yang dilaksanakan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di bawah pemantauan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah siap sepenuhnya lewat petang semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati gangguan berpunca daripada penyambungan elektrik secara tidak sah di beberapa unit yang bekalannya telah dipotong secara rasmi.
“Tindakan penyambungan sendiri (curi api) ini menjejaskan kestabilan sistem bekalan serta mengundang risiko keselamatan serius termasuk kebakaran dan renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bangunan sedia ada juga tidak lagi sesuai diduduki atas faktor keselamatan dan risiko teknikal.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan penyitaan serta-merta ke atas unit yang dikenal pasti sebaik sahaja senarai rasmi diterima daripada TNB.
Selain itu, penyelarasan pemindahan penghuni terlibat ke unit baharu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang akan dibuat berdasarkan kelulusan yang telah dimuktamadkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan pemantauan rapi bagi mengelakkan pencerobohan semula dan penyambungan haram berulang.
“Bagi memastikan pelaksanaan lebih efektif, satu ‘task force’ bersepadu akan diwujudkan melibatkan semua jabatan dan agensi berkaitan, dengan Pejabat Parlimen mengetuai penyelarasan lapangan bagi memastikan penguatkuasaan dan proses pemindahan dilaksanakan secara tersusun dan tegas,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu akan dilibatkan bagi memperkukuh komunikasi bersama penduduk, khususnya bekas pekerja ladang yang berpindah sejak 1999 dari Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely bagi projek pembangunan Putrajaya.
Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan itu bagi memastikan penyelesaian dilaksanakan secara menyeluruh, teratur dan selamat.
Semalam, KPKT mengarahkan PNSB menyegerakan pembaikan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan lebih 200 penduduk Flat Taman Permata, Dengkil sejak lima hari lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata meskipun isu melibatkan keselamatan pendawaian utama bangunan, tempoh pembaikan selama seminggu perlu dipatuhi demi keselamatan penduduk.




