Pendapatan isi rumah Selangor naik 4.2 peratus, namun kos sara hidup masih tekan rakyat

25 Feb 2026, 5:00 AM
Pendapatan isi rumah Selangor naik 4.2 peratus, namun kos sara hidup masih tekan rakyat

SHAH ALAM, 25 FEB: Pendapatan isi rumah di Selangor dan seluruh Malaysia meningkat lebih pantas berbanding kadar inflasi, namun kenaikan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian keluarga, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Merujuk kepada Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, Akmal berkata purata pendapatan isi rumah di peringkat nasional meningkat daripada RM8,479 kepada RM9,155 pada 2024, iaitu kadar pertumbuhan tahunan 3.8 peratus berbanding inflasi 1.8 peratus pada tahun sama.

Di Selangor, purata pendapatan isi rumah naik daripada RM12,233 kepada RM13,296 dalam tempoh sama, meningkat 4.2 peratus. Di daerah Klang yang merangkumi Kapar, pendapatan meningkat daripada RM10,278 kepada RM10,912, iaitu kenaikan 3.0 peratus.

Orang ramai memilih barangan keperluan dalam Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sentosa di Jalan Dato Dagang 39, Klang pada 13 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pendapatan median turut meningkat — daripada RM6,338 pada 2022 kepada RM7,017 pada 2024 (5.1 peratus setahun) di peringkat nasional, daripada RM9,983 kepada RM10,726 (3.6 peratus) di peringkat negeri, dan daripada RM8,203 kepada RM8,837 (3.8 peratus) di daerah Klang.

Bagaimanapun, Akmal berkata data Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKHS) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan harga barangan dan perkhidmatan asas terus meningkat, terutama menjejaskan isi rumah berpendapatan rendah.

Beliau memaklumkan PGK nasional meningkat daripada RM2,589 pada 2022 kepada RM2,705 pada 2024, manakala IKHS menunjukkan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor antara kawasan mencatat kos sara hidup tertinggi.

Seiring itu, perbelanjaan isi rumah turut meningkat. Purata perbelanjaan nasional naik daripada RM5,150 pada 2022 kepada RM5,566 pada 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan 3.9 peratus.

Di Selangor, purata perbelanjaan isi rumah meningkat daripada RM6,770 kepada RM7,266, manakala di Klang naik daripada RM6,622 kepada RM6,927 dalam tempoh sama.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berucap semasa persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 10 Februari 2026.

“Secara keseluruhan, pertumbuhan purata pendapatan sebanyak 3.8 peratus, yang lebih tinggi daripada kadar inflasi 1.8 peratus pada 2024, sedikit sebanyak membantu meningkatkan kuasa beli isi rumah.

“Namun, pertumbuhan purata perbelanjaan yang sedikit lebih tinggi pada kadar 3.9 peratus menunjukkan isi rumah masih berdepan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali mengenai langkah kerajaan memastikan pendapatan isi rumah di Selangor, khususnya di Kapar, seiring dengan kenaikan kos sara hidup.

Akmal berkata kerajaan terus memberi perhatian terhadap isu kos sara hidup di bawah kerangka Ekonomi Madani yang menumpukan kesejahteraan rakyat.

Antara inisiatif dilaksanakan termasuk bantuan tunai, bantuan bersasar melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, subsidi bersasar, program penstabilan harga serta kenaikan gaji minimum.

“Kita yakin pelbagai reformasi yang dilaksanakan setakat ini telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah bagi menangani kos sara hidup,” katanya.