Di sebalik pelbagai menu moden, kuih bongkok, punten tetap jadi pilihan

25 Feb 2026, 1:31 AM
Di sebalik pelbagai menu moden, kuih bongkok, punten tetap jadi pilihan
Di sebalik pelbagai menu moden, kuih bongkok, punten tetap jadi pilihan

KUALA SELANGOR, 25 FEB: Di celah deretan gerai yang menjual pelbagai menu moden di Bazar Ramadan Kuala Selangor, makanan tradisi seperti kuih bongkok dan puten terus menjadi buruan pengunjung yang mengimbau cita rasa lama setiap kali Ramadan.

Kedua-dua juadah tersebut bukan sekadar pelengkap pilihan di bazar, malah mencerminkan keunikan resipi turun-temurun yang masih dipelihara meskipun berdepan saingan makanan kontemporari.

Bagi peniaga, Azmiah Umar, 47, dari Kampung Assam Jawa, kuih bongkok yang dijual bukan sekadar juadah bermusim, sebaliknya resipi warisan keluarga yang perlu dipertahankan selepas dipelajari daripada ibunya.

“Dibungkus kemas dengan lipatan daun pisang, kuih berasaskan tepung beras dan santan itu melalui proses dua kali masak sebelum menghasilkan tekstur lembut serta rasa lemak manis yang lebih enak dinikmati ketika sejuk,” katanya.

Azmiah Umar, 47, peniaga kuih bongkok Kampung Asam Jawa Kuala Selangor. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau memperuntukkan hampir setengah hari, bermula pagi hingga tengah hari, untuk menyiapkan kira-kira 300 biji sehari yang dijual pada harga RM5 bagi empat biji.

Menurutnya, permintaan terhadap kuih bongkok masih tinggi terutama dalam kalangan pelanggan tetap, meskipun tidak ramai generasi muda mengenali atau mengetahui cara pembuatannya.

“Jika resipi orang lama tidak dipelajari, lama-kelamaan ia boleh hilang kerana kini ramai lebih mengenali makanan luar,” katanya sambil menggalakkan anak muda mempelajari cara menghasilkan juadah tradisional.

Azura Abdul Aziz , 35, peniaga kuih punten di Bazar Ramadan Kuala Selangor. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Selain kuih bongkok, satu lagi juadah tradisi yang mendapat perhatian ialah punten yang diusahakan Azura Abd Aziz, 35, juga dari Kuala Selangor.

Makanan berasaskan nasi yang dikepal padat itu dihidangkan bersama sambal cili hijau, sekali gus mengekalkan cita rasa asli turun-temurun.

Azura berkata beliau bangga dapat meneruskan resipi ibunya agar lebih ramai mengenali makanan tradisional berkenaan.

Selain kuih bongkok dan punten, antara juadah tradisi lain yang boleh ditemui di Bazar Ramadan Kuala Selangor ialah nasi ambeng dan pecal, yang turut menjadi pilihan pengunjung setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.