2026 tahun penting Kuala Selangor, projek berskala besar pacu pembangunan daerah

25 Feb 2026, 12:05 AM
2026 tahun penting Kuala Selangor, projek berskala besar pacu pembangunan daerah
2026 tahun penting Kuala Selangor, projek berskala besar pacu pembangunan daerah
2026 tahun penting Kuala Selangor, projek berskala besar pacu pembangunan daerah

KUALA SELANGOR, 25 FEB: Tahun 2026 disifatkan sebagai tempoh penting buat Kuala Selangor dalam merealisasikan pelbagai projek pembangunan yang dirancang di daerah berkenaan.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata beberapa projek berskala besar dijangka siap dan dilaksanakan tahun ini, termasuk Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 1.

“RTB Fasa 1 dijangka siap pada Ogos ini. Pelaksanaannya akan mengurangkan risiko banjir di sepanjang jajaran Sungai Buloh melibatkan tujuh taman perumahan dan lima kampung.

“Keseluruhan kawasan itu melibatkan lebih 10,000 penduduk dengan kos pelaksanaan berjumlah RM34.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di sini, semalam.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Mohd Raiz berkata projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Kuala Selangor–Tanjung Karang dijangka siap Disember ini, sekali gus melengkapkan keseluruhan jajaran projek tersebut.

Menurutnya, projek sepanjang 29.5 kilometer itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dari Kuala Selangor ke Tanjung Karang, terutama ketika musim perayaan.

Selain itu, beliau memaklumkan dua projek pembangunan baharu sedang dilaksanakan iaitu Scientex Park di Bestari Jaya serta Koridor Baru Selangor oleh Sime Darby (SD) Guthrie dan SD Property.

“Scientex Park merangkumi pembangunan bercampur melibatkan perumahan rumah teres, 2,093 unit Rumah Selangorku, kedai pejabat serta lot perniagaan.

“Koridor Baru Selangor pula meliputi keluasan keseluruhan 5,000 ekar, merangkumi 3,000 ekar di Bukit Cerakah dan Bukit Kerayong, Kuala Selangor, serta baki 2,000 ekar di Pulau Carey, Klang.

“Fokus pembangunan ini ialah taman perindustrian berat lestari yang dilengkapi ekosistem jaringan laut merangkumi terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey, Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Lebuhraya WCE,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan telah mengenal pasti 1,699.68 hektar (4,200 ekar) tanah untuk pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey.

Amirudin dilaporkan berkata kawasan itu meliputi 1,011.71 hektar (2,500 ekar) tanah dasar laut di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan 687.96 hektar (1,700 ekar) tanah pesisir pantai milik Yayasan Selangor.

Pembangunan fasa pertama terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Apa reaksi anda?