160 guni anak kerang antara disita, nilai cecah RM107,500

24 Feb 2026, 9:06 AM
160 guni anak kerang antara disita, nilai cecah RM107,500
160 guni anak kerang antara disita, nilai cecah RM107,500
160 guni anak kerang antara disita, nilai cecah RM107,500

SHAH ALAM, 24 FEB: Jabatan Perikanan Negeri Selangor merekodkan sitaan bernilai RM107,500 susulan penangkapan dan rampasan anak kerang dalam satu operasi di Sabak Bernam, semalam.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan operasi dilaksanakan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (CKOPP) jam 5.40 petang, yang membawa kepada penemuan aktiviti memunggah anak kerang ke dalam sebuah lori di jeti sekitar Bagan Sungai Pulai.

“Hasil pemeriksaan mendapati individu terlibat gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen atau kebenaran sah berkaitan aktiviti pengambilan kerang.

“Dalam operasi berkenaan, pihak jabatan menyita sebuah lori tiga tan, tujuh unit tangguk bergalah halus, 160 guni anak kerang serta satu dokumen urus niaga,” menurut kenyataan itu.

Empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 60-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Semua barang rampasan dibawa ke lokasi tahanan jabatan untuk tindakan lanjut dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

Kes disiasat mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002 kerana disyaki mengambil anak kerang dari tapak semula jadi atau tapak kultur tanpa kebenaran.

Jabatan itu menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perikanan, khususnya membabitkan kerang yang menjadi antara nadi ekonomi komuniti nelayan tempatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penangkapan atau pengambilan hasil perikanan secara tidak sah diminta menyalurkannya kepada pejabat perikanan berhampiran.

Apa reaksi anda?