JAIS tidak kompromi penceramah tanpa tauliah, kekang ajaran sesat

24 Feb 2026, 1:00 AM
JAIS tidak kompromi penceramah tanpa tauliah, kekang ajaran sesat

SHAH ALAM, 24 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak akan berkompromi terhadap penceramah tanpa tauliah, dengan tindakan undang-undang dikenakan bagi memastikan masjid dan surau bebas daripada ajaran sesat serta pengaruh kebencian.

Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tahun lalu sembilan penceramah yang tidak mendapat tauliah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 119 Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

“Di masjid dan surau memang penceramah bertauliah, cuma kita kesan ada yang ingin buat kelainan dengan memanggil individu tidak dapat tauliah terutama menjelang Ramadan.

“Pentadbiran masjid dan surau tahu jika perkara ini salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Penguatkuasaan ini adalah bertujuan mengekang penularan ajaran sesat selain memastikan penceramah tidak ke arah politik kepartian,” katanya kepada Media Selangor.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, penguatkuasaan berkenaan bukan bertujuan menghalang penyampaian ilmu, sebaliknya bagi memastikan masjid dan surau kekal sebagai institusi berkecuali serta tidak menjadi medan perpecahan.

“Orang dahulu menggunakan politik untuk kesatuan tetapi hari ini boleh membawa kepada perpecahan. Sekiranya politik masuk ke masjid dan surau, lawan yang benar tetap salah.

“Jika bertauliah pun boleh bawa naratif pelik apatah lagi yang tidak mendapat tauliah. Sebab itu, Seksyen 119 dikuatkuasakan supaya elak perpecahan, kalau masjid dan surau menjadi wadah berpecah, apa lagi yang umat Islam ada,” tegasnya.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah program memakmurkan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah hanya boleh disampaikan oleh individu yang mempunyai tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut bertitah penceramah luar negara hanya dibenarkan menyampaikan kuliah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya.

Apa reaksi anda?