Dakwah digital meresap ke hati

24 Feb 2026, 4:00 AM
Dakwah digital meresap ke hati
Dakwah digital meresap ke hati

Dahulu Masjid Bandar Seri Putra, Bangi hanya dikunjungi penduduk setempat. Sesekali didatangi pelajar kolej Universiti Islam Selangor yang perjalanannya kurang lima minit daripada kampus.

Namun, penangan media sosial merubah segala-galanya. Masjid terletak lebih 60 kilometer daripada ibu negara itu digamit jemaah serata negeri. Semuanya kerana dakwah di hujung jari.

Dua tahun lalu, video yang dihasil pembantu bilal, Azizi Roslan, 34, tular walaupun baru lima hari pengurusan masjid itu aktif di aplikasi TikTok. Rakaman tersebut meraih 2.4 juta tontonan.

Pembantu bilal Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, Azizi Roslan, 34. Foto FIKRI YUSOF

Beliau bercerita tentang van jenazah yang menjadi kenderaan terakhir umat Islam. Hampir 5,000 pengguna memberi komentar. Dakwah itu meski tampak biasa-biasa tetapi berbekas di hati mereka.

“Dakwah tidak boleh terlalu kaku. Media sosial memberi ruang untuk kita mendekati masyarakat dengan bahasa dan gaya yang mereka fahami, tanpa mengorbankan nilai Islam,” katanya kepada Media Selangor.

Meski masjid sering dilihat sebagai ruang ibadah yang sunyi di luar waktu solat, tanggapan itu berubah apabila pengurusan masjid itu antara terawal memanfaatkan media sosial secara agresif.

Motifnya mudah. Sampaikan mesej dengan pendekatan santai, mudah difahami tetapi menyentuh emosi. Golongan anak muda yang tidak lekang dengan media sosial sebagai sasaran.

“Kadang-kadang satu mesej ringkas yang disampaikan melalui komedi lebih melekat berbanding ceramah panjang,” katanya yang meniru konsep Boss James yang mengulas model kenderaan di TikTok.

Bagi memastikan kandungan relevan dengan isu semasa, Azizi bersama pengurusan masjid bekerja keras menghasilkan kandungan bermutu. Menjana idea, menulis skrip, mengarah, berlakon dan menyunting sebelum memuat naik bahan itu.

Pengikut meningkat

Dalam tempoh tiga bulan aktif di dunia digital pada 2024, bilangan pengikut akaun TikTok masjid berkenaan meningkat kepada 100,000 orang. Kini mencecah lebih 260,000 pengikut.

“Malah ada musafir singgah ke masjid ini semata-mata kerana sering melihat masjid dan ahli jawatankuasanya di TikTok. Ia mengubah tanggapan bahawa masjid itu sunyi dan terasing,” katanya.

Namun, mereka mengakui cabaran utama ialah mengekal keseimbangan antara unsur hiburan dan pengisian rohani agar mesej Islam tidak disalah tafsir. Lebih-lebih lagi, ada kritikan yang mahu pendekatan dakwah harus kekal menggunakan kaedah serius dan tradisional.

Pembantu bilal, Azizi Roslan, 34, (kanan) menghasilkan kandungan digital Masjid Bandar Seri Putra, Bangi. Foto FIKRI YUSOF

“Kami terima dengan hati terbuka. Selagi niat baik dan mesej Islam dijaga, kami percaya setiap pendekatan ada kelompok sasarannya sendiri,” kata Azizi.

Keberadaan di pelantar media sosial juga membuka peluang kepada pengurusan masjid menjana pendapatan melalui sumbangan dalam talian, kerjasama pengiklanan dengan syarikat dan perusahaan kecil sederhana (PKS) serta penajaan program.

Ini sekali gus membantu pengurusan masjid menjimatkan kos operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada dana dalaman semata-mata. Lebih banyak program kemasyarakatan juga dapat dijalankan.

Kejayaan itu menjadi rujukan kepada masjid-masjid lain. Mereka mendapatkan pandangan, nasihat dan idea untuk menjalankan projek dakwah digital. Secara tidak langsung, Masjid Bandar Seri Putra membuktikan dakwah perlu bergerak seiring zaman tanpa meninggalkan nilai Islam sejati.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat komuniti dan inspirasi. Jika media sosial boleh membawa orang kembali ke masjid, itu satu kemenangan besar,” kata Azizi lagi.

Fakta Masjid Bandar Seri Putra, Bangi. Grafik FARAH AZILA MUSTAPHA

Apa reaksi anda?