HULU LANGAT, 22 FEB: Dua premis kitar semula minyak dan sisa plastik di Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Kabul yang dikesan pada 19 Februari lalu, hasil rondaan dan pemantauan selama 24 jam oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Dato’ Menteri Besar berkata premis tersebut berdepan tindakan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 sehingga maksimum RM1 juta serta hukuman penjara mandatori tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Susulan insiden pencemaran itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan segera diambil bagi memastikan operasi loji rawatan air tidak terjejas serta mengelakkan gangguan bekalan kepada pengguna.
“Pengaktifan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) berjaya mengelakkan gangguan bekalan air sepanjang tempoh mitigasi dilaksanakan.
“Insiden kali ini merupakan yang paling lama dengan tempoh mitigasi kira-kira 62 jam. Namun bekalan air berjaya dikekalkan berikutan kapasiti sedia ada mencukupi,” katanya pada sidang media, sambil memaklumkan pengaktifan SJAM berjalan dari 19 hingga 22 Februari sehingga jam 4.30 pagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan menemukan dua premis terlibat aktiviti kitar semula minyak dan sisa plastik yang terletak bersebelahan disyaki melepaskan sisa minyak dan efluen berwarna hitam ke sistem perparitan sebelum mengalir ke Sungai Kabul.
Langkah mitigasi yang dilaksanakan termasuk pengaktifan Kod Kuning, kawalan aliran pencemaran dan kerja-kerja nyahbau menggunakan oil boom, oil pad serta karbon teraktif (Activated Carbon). Selain itu, Kolam B dan C di bawah SJAM turut dipam bagi memastikan kesinambungan bekalan air terawat ke Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.
Amirudin berkata, premis terbabit sebelum ini pernah dikenakan kompaun pada 2025 dan tindakan lebih tegas akan diambil kali ini.
“Sampel yang dihantar ke makmal jelas menunjukkan berlaku pelanggaran yang menyebabkan pencemaran bau ini,” katanya.
Dalam masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan pemberhentian operasi serta mengeluarkan notis arahan pembersihan kepada kedua-dua premis, manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) mengambil tindakan sitaan terhadap premis pertama kerana beroperasi tanpa kebenaran.
Beliau turut mengarahkan siasatan diperluaskan ke kawasan sekitar bagi mengekang aktiviti tidak berlesen atau yang gagal mematuhi piawaian, sekali gus mengelakkan kejadian berulang.
“Saya dimaklumkan terdapat beberapa premis mengitar semula plastik di kawasan ini. Saya minta agensi berkaitan menjalankan siasatan segera dan menghentikan sebarang aktiviti yang berisiko mencetuskan pencemaran,” katanya.






