SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melawat tapak teknikal Hospital Kuala Kubu Bharu bagi membincangkan cadangan tambahan dan ubahsuai kuarters hospital lama menjadi bilik fisiologi.
Jabatan Perancang Bandar MPHS memaklumkan tiada halangan untuk membantu hospital menyelesaikan isu teknikal tersebut.
MPHS berkata inisiatif ini dijangka memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan serta mempercepat penyelesaian isu teknikal demi manfaat komuniti setempat.
"Diharapkan dengan lawatan dan perbincangan ini, hubungan agensi kerajaan di kawasan pentadbiran daerah Hulu Selangor menjadi lebih erat," menurut MPHS dalam hantaran di Facebook.

Lawatan ke hospital berkenaan semalam diketuai oleh Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaludin. Hadir sama Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPHS Azlina Mokhtar, pihak hospital dan perunding.




