Mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam longkang

20 Feb 2026, 3:12 PM
Mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam longkang

SHAH ALAM, 20 FEB: Penduduk Kampung Tengah, Segamat gempar selepas menemukan mayat seorang wanita dalam longkang berhampiran lampu isyarat kampung itu pagi tadi.

Mayat wanita yang dipercayai berusia lingkungan 60-an ditemui orang awam pada jam 11.40 pagi ketika melalui lokasi terbabit, sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail, berkata sejurus menerima laporan, pihaknya bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan ke atas mayat mendapati tiada unsur jenayah setakat ini. Si mati merupakan seorang wanita namun identitinya belum dikenalpasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya dalam kenyataan media, lapor Harian Metro.

Mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat. Sementara menunggu laporan rasmi, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Mohd Jumazanzahir menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.