SHAH ALAM, 20 FEB: Datuk Bandar Shah Alam yang baharu, Dato’ Zabidah Safar, berazam mempertingkat infrastruktur serta menambah baik perkhidmatan berkualiti kepada warga Shah Alam.
Zabidah berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merupakan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah matang di Malaysia, dengan pencapaian serta pembangunan yang boleh dibanggakan.

“Fokus saya, seperti mana masalah di PBT lain seperti sampah, banjir, jalan dan sebagainya, akan terus menjadi perhatian kerana ia melibatkan kepuasan penduduk Shah Alam.
“Saya perlu lihat dulu apa yang perlu jadi keutamaan. Perkara rutin itu perlu diteruskan,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar Shah Alam ke-13 di Wisma MBSA, hari ini.

Zabidah, 58, menggantikan Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim, sekali gus menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut.
Mohd Fauzi dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Zabidah menegaskan, perbezaan jantina bukanlah kelebihan atau halangan untuknya menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar.
“Perempuan atau lelaki, saya rasa tidak ada perbezaan. Tanggungjawab dan cabaran itu sama untuk ditangani berdasarkan keperluan semasa jabatan, dan juga pengalaman tadbir urus di agensi lain sebelum ini,” katanya.
Berkelulusan Sarjana Perkhidmatan Awam dari Universiti Malaya, Zabidah mula menyertai perkhidmatan awam pada 25 Januari 1995 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau pernah berkhidmat di pelbagai jabatan antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Perbendaharaan Negeri Selangor, dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang.




