SHAH ALAM, 19 FEB: Polis membongkar modus operandi sindiket pengedaran dadah yang menggunakan bot pancung sebagai pengangkutan untuk menghantar dadah ke negara jiran.
Menerusi Ops Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam di sekitar Sekinchan pada 12 Februari lalu, tiga warga asing termasuk seorang wanita dari Indonesia ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12.6 juta, termasuk sepucuk pistol jenama Llama Cal.38 Super, satu kelopak peluru berisi empat butir peluru dan 45 butir peluru lain.
Menurut beliau serbuan pertama di kawasan perumahan Kampung Sungai Leman, Sekinchan menahan tiga suspek berusia 26 hingga 53 tahun bersama tiga bungkusan plastik disyaki methamphetamine seberat 11.36 gram.
"Serbuan kedua di dalam sebuah bot tidak bernombor di Jeti Ikan, Sekinchan, merampas 152 bungkusan methamphetamine (158.61 kg), 5 bungkusan dadah ekstasi (10.89 kg) dan 2,000 kartrij dadah MDMA (5 kg).
"Pistol turut ditemui dalam bot berkenaan dan anggaran rampasan dadah adalah RM12.6 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini, lapor Berita Harian.
Hussein berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak awal 2021, beroperasi di kawasan perairan Selangor dan Selat Melaka.
Suspek pertama berperanan sebagai koordinator laut dan darat, suspek kedua sebagai ‘runner’ dan ‘boatman’, manakala suspek ketiga ialah isteri koordinator.
Polis percaya bekalan dadah diperoleh dari Semenanjung Malaysia sebelum dibawa ke negara jiran melalui perairan antarabangsa.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine manakala wanita negatif. Semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek tiada rekod jenayah lampau. Dua suspek lelaki dipercayai berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah, manakala suspek wanita baru tiba.
Kesemua suspek direman 14 hari sehingga 26 Februari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.


