SHAH ALAM, 19 FEB: Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita tempatan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan pisau yang menggunakan Perodua Axia merah di Jalan Plumbum, Seksyen 7, di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata kejadian berlaku pada 5.30 pagi 16 Februari Ketika mangsa, wanita Indonesia berjalan kaki untuk membuang sampah yang menyebabkannya mengalami kerugian dianggarkan antara RM350 hingga RM500.
“Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berjaya menahan kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 40-an dan kenderaan terlibat pada jam 9 malam hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani menerusi talian 017-2892 628 untuk membantu siasatan.
- BERNAMA


