SHAH ALAM, 19 FEB: Remaja lelaki berusia 15 tahun yang menjadi saksi kejadian kes lima sekeluarga maut di kawasan perumahan Cerating Damai di Kuantan, dilaporkan masih trauma dan belum bersedia untuk menjalani sesi kaunseling.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Khairul Amri Ahmad berkata pegawai JKM Kuantan sudah mengadakan pertemuan dengan remaja terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (IPD) Kuantan, kelmarin.
Menurutnya, pertemuan itu turut dihadiri bapa remaja berkenaan.
“Berdasarkan pertemuan tersebut, saksi dilihat masih dalam keadaan trauma dan belum bersedia untuk sesi kaunseling.
“Sehubungan itu, bapanya mengambil keputusan membawa remaja terbabit pulang ke FELDA Neram, Kemaman, Terengganu bagi memberi ruang untuknya bertenang,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata JKM Kuantan kemudiannya merujuk kes berkenaan kepada JKM Kemaman untuk tindakan susulan.
Katanya, pihak JKM Kemaman bersedia menyantuni keluarga terbabit termasuk mengadakan sesi kaunseling apabila remaja itu bersedia.
“Saya difahamkan JKM Kemaman hari ini mengadakan pertemuan dengan bapa saudara dan bapa kandung saksi bagi membantu remaja terbabit yang masih trauma,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan remaja berkenaan terdengar pertengkaran kira-kira jam 7 pagi sebelum menemui ibunya dalam keadaan berlumuran darah di dapur rumah.
Remaja itu kemudian mendapatkan bantuan bapa saudaranya yang tinggal berhampiran sebelum mendapati beberapa ahli keluarga lain turut dalam keadaan tidak sedarkan diri.


