KUALA LUMPUR, 19 FEB: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) kini memacu transformasi pengurusan dana wakaf negara ke arah ekosistem digital menerusi pengenalan aplikasi Go Wakaf bagi memudahkan rakyat menyumbang secara telus dan selamat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata inisiatif pendigitalan itu merupakan keperluan strategik bagi memastikan ibadah wakaf dapat digerakkan secara lebih moden, sistematik dan diyakini masyarakat.
Beliau berkata langkah itu juga selaras dengan hala tuju kerajaan dalam memperkukuh pendigitalan pengurusan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), MyDIGITAL dan agenda Malaysia MADANI.
"Pendigitalan bukan sekadar pilihan, tetapi suatu keperluan strategik bagi memudahkan orang ramai berwakaf melalui platform digital dan aplikasi mudah alih yang selamat, mesra pengguna serta telus.
“Bagi memperkukuh pengurusan terimaan dana wakaf, aplikasi Go Wakaf akan diperkenalkan sebagai satu langkah pendigitalan untuk memudahkan orang ramai berwakaf melalui telefon bimbit,” katanya ketika berucap melancarkan sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 1447H/2026 bertemakan ‘Wakaf Membangun Malaysia MADANI’ di sini hari ini.
Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM berkata melalui pendekatan digital tersebut, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta sepanjang Bulan Wakaf Kebangsaan menerusi semua platform digital agensi berkenaan.
Sebagai pelengkap kepada inisiatif itu, beliau berkata iklan khas kesedaran berwakaf akan disiarkan di semua stesen televisyen di seluruh negara bagi membantu masyarakat memahami kepentingan dan cara berwakaf yang betul.
Pada masa sama, Zulkifli berkata Garis Panduan Pungutan Dana Wakaf Al-Quran (Edisi Kemas Kini) yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama YMW akan diperkenalkan.
"Ia akan menjadi bahan rujukan kepada masyarakat supaya amalan mewakafkan al-Quran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, berintegriti dan selaras dengan kehendak syariah," katanya sambil menambah kerjasama itu turut melibatkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Zulkifli berkata pendigitalan wakaf adalah antara lima teras utama agenda sambutan tersebut, selain Teras Pembudayaan, Literasi dan Inklusiviti Wakaf, serta Tadbir Urus Berintegriti, Piawaian dan Ketelusan, dua lagi teras ialah Memakmurkan Aset Wakaf: Dari Idle Kepada Produktif dan Wakaf Muaqqat (Bertempoh): Fleksibiliti Baharu, Impak Yang Cepat.
Beliau turut mendedahkan wujud jurang kesedaran yang besar apabila kutipan zakat direkodkan MAIN pada 2024 dianggarkan berjumlah RM4.85 bilion, manakala kutipan wakaf tunai di negeri-negeri termasuk oleh YWM hanya sekitar RM140 juta bagi tempoh sama.
“Ini menggambarkan betapa kurangnya kesedaran orang ramai terhadap potensi besar wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah. Justeru, Bulan Wakaf Kebangsaan diperkenalkan sejak 2021 sebagai pentas nasional untuk memperkasakan budaya wakaf di Malaysia," katanya
-- BERNAMA








