Warga emas dipercayai pecah skrin mesin ATM dengan batu ditahan

18 Feb 2026, 3:10 PM
Warga emas dipercayai pecah skrin mesin ATM dengan batu ditahan

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Lelaki warga emas ditahan polis dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa cawangan bank di sekitar Jinjang di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni berkata suspek warga tempatan berusia 65 tahun itu ditahan 3.21 petang tadi dan polis merampas sebuah motosikal, sebuah topi keledar, pakaian dan seketul batu yang digunakan dalam jenayah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek memecahkan skrin mesin berkenaan menggunakan objek batu kerana tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes khianat pecah skrin mesin ATM yang dilaporkan sebelum ini.

Basri berkata siasatan lanjut diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disyaki terlibat dalam siri kes khianat memecahkan beberapa mesin ATM di sekitar Jinjang dengan anggaran kerugian RM64,000.

- BERNAMA