SHAH ALAM, 17 FEB: Dua kawasan di Kuala Selangor dinaiki air susulan hujan berterusan sejak malam tadi, namun keadaan masih terkawal.
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan sehingga jam 1 tengah hari, lokasi terjejas ialah di Jalan Kuala Selangor, Ijok berhampiran Kedai Perabot Avatar serta Batu 22, Ijok.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, rondaan dan pemantauan telah dijalankan Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) di beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko.
“Rondaan dan pemantauan dijalankan PANTAS di beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko bagi memastikan situasi sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
“Keadaan di kedua-dua lokasi yang dilaporkan dinaiki air adalah terkawal dan masih boleh dilalui kenderaan. Kawasan lain sekitar daerah Kuala Selangor juga berada dalam keadaan terkawal setakat ini,” menurut MPKS dalam kenyataan.
MPKS turut memaklumkan pasukan PANTAS akan terus menjalankan pemantauan berterusan selain berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya perlu.
Langkah tersebut bagi memastikan keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya sentiasa terpelihara sepanjang tempoh cuaca tidak menentu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan terjejas dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” kata MPKS.
Setakat ini, tiada laporan kejadian tidak diingini dilaporkan dan keadaan di sekitar daerah berkenaan terus dipantau dari semasa ke semasa.









