SHAH ALAM, 16 FEB: Program Lepak Seni @ Klang 2026 yang julung kali dianjurkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, program yang berlangsung di Giant Bukit Tinggi, Klang semalam bertujuan memupuk minat seni dalam kalangan komuniti sambil menyediakan ruang santai mesra keluarga.
"Pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan seruling, demonstrasi mewarna batik, kombo muzik, serta aksi magik oleh Mawie the Magician, yang menarik perhatian kanak-kanak dan dewasa.
"Program ini mendapat sambutan baik daripada pengunjung dan memberi peluang kepada komuniti untuk menikmati aktiviti seni dalam suasana santai dan mesra keluarga." tulisnya dalam hantaran di Facebook.
Program yang mendekatkan masyarakat dengan seni secara interaktif itu dihadiri Ahli Majlis MBDK Pannir Selvam, wakil Pengarah Jabatan Kemasyarakatan MBDK Mohd Fharulisa dan wakil Giant Bukit Tinggi Shazwani.








