SHAH ALAM, 15 FEB: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Baiduri, Banting, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres yang musnah kira-kira 85 peratus dengan dua mangsa dilaporkan terperangkap ketika operasi pemadaman dan pencarian dijalankan.
“Hasil pencarian menemukan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian itu, Ahmad Mukhlis berkata seramai 10 penghuni berada di dalam rumah berkenaan ketika kebakaran berlaku, namun sembilan daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.
Katanya, operasi pemadaman melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dengan bantuan BBP Telok Panglima Garang dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 7 pagi.
Pada masa sama, beliau memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.








