SHAH ALAM, 14 FEB: Industri kreatif dilihat mampu menjadi pemacu ekonomi belia di Selangor menerusi penganjuran Program Merge Is Bolder 2026, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata gabungan kecerdasan buatan (AI) dan kreativiti boleh memberi kesan lebih cepat kepada masyarakat seiring perkembangan teknologi digital masa kini.
“Sebagai pembuat dasar, pemantauan terhadap penggunaan teknologi amat penting bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan undang-undang serta tidak melanggar nilai dan etika kemanusiaan.
“Gabungan kecerdasan buatan (AI) dan kreativiti boleh mempengaruhi masyarakat, namun penggunaannya mesti beretika supaya tidak melampaui batas,” katanya.

Beliau berucap demikian mewakili EXCO Belia, Mohd Najwan Halimi pada Program Merge Is Bolder 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.
Azli berkata industri kreatif menyumbang kira-kira RM2 juta kepada ekonomi negeri dan mendorong kerajaan negeri memperkukuh daya tahan serta kebolehpasaran belia dalam menghasilkan produk berdaya saing.
Beliau menambah program Merge Is Bolder selaras dengan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) dalam menyokong pembangunan belia berkemahiran di Selangor.
Sementara itu, Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Ts Dr Azhar Abd Jamil berkata bidang seni reka grafik kekal relevan walaupun berdepan perkembangan teknologi termasuk AI.
Katanya, inisiatif itu selaras dengan visi universiti dalam menghubungkan industri dan komuniti serta meningkatkan keterlihatan institusi.

“Bidang seni reka grafik akan terus relevan walaupun teknologi seperti AI berkembang. Program seperti ini dapat mengukuhkan jaringan industri dan menyokong ekonomi kreatif Selangor.
“Kerjasama antara institusi pengajian tinggi, industri dan komuniti mampu melahirkan bakat belia yang bersedia memenuhi keperluan pasaran,” katanya.
Program Merge Is Bolder merupakan pameran projek tahun akhir pelajar Seni Reka Grafik dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, anjuran Jabatan Grafik dan Media Digital UiTM Puncak Alam.
Program ini melibatkan seramai 133 pelajar, platform untuk mereka mempamerkan hasil karya serta membuat persediaan menghadapi realiti industri dan landskap ekonomi baharu.


