MBPJ salur RM300 kepada 100 keluarga B40 sempena Tahun Baharu Cina

14 Feb 2026, 3:22 AM
MBPJ salur RM300 kepada 100 keluarga B40 sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 14 FEB: Seramai 100 keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan tunai RM300 daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, semalam.

MBPJ memaklumkan inisiatif itu sebagai manifestasi keprihatinan pihak berkuasa tempatan berkenaan dalam menyantuni golongan memerlukan, khususnya menjelang musim perayaan.

"Penerima telah dikenal pasti melalui pangkalan data e-Kasih serta pencalonan Ahli Majlis," katanya dalam kenyataan.

Sumbangan tersebut disampaikan dalam majlis sambutan di Dataran Boulevard dan Jalan Tengah, Seksyen 52 yang disempurnakan Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon menyerahkan angpau kepada kanak-kanak serta warga emas pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 13 Februari 2026. Foto Facebook MBPJ

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Halimey Abu Bakar.

Dalam majlis sama, lima pusat jagaan warga emas turut menerima sumbangan berupa barangan terpakai terpilih dan baucar pembelian bernilai RM300 setiap satu menerusi Program Jalinan Kasih 3R PJKita.

"Inisiatif ini sebagai usaha memperkukuh sokongan komuniti dan kelestarian amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle)," katanya.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan naga, orkestra Cina, nyanyian serta persembahan buskers.

Selain itu, aktiviti tradisi seperti cabutan bertuah dan pemberian angpau kepada kanak-kanak serta warga emas turut diadakan.

Menurut MBPJ, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk, menyantuni golongan rentan serta menyokong agenda pembangunan bandar yang inklusif dan mampan.

Apa reaksi anda?