Susur pusingan U EKVE Ukay Perdana lulus audit keselamatan sebelum operasi

14 Feb 2026, 2:52 AM
Susur pusingan U EKVE Ukay Perdana lulus audit keselamatan sebelum operasi

SHAH ALAM, 14 FEB: Susur pusingan U bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Ukay Perdana, Hulu Kelang telah menjalani Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) sebelum dibuka kepada orang ramai.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin berkata, pasukan audit melakukan pemeriksaan di tapak kira-kira satu atau dua bulan sebelum pelancaran dan meluluskan pembukaan laluan itu dengan beberapa langkah tambahan.

“Ia diluluskan sebelum dibuka, dengan langkah tambahan seperti had laju serta papan tanda amaran,” katanya, sambil menegaskan reka bentuk tersebut mematuhi prosedur operasi lebuh raya seperti dilapor StarMetro.

Pembukaan laluan susur bertingkat EKVE pada 26 Januari lalu dilaporkan membantu mengurangkan kesesakan waktu puncak di persimpangan Jalan Ukay Perdana dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Mohd Kamri berkata, aliran trafik di kawasan berkenaan menunjukkan perubahan positif apabila kenderaan tidak lagi memotong masuk melalui laluan perumahan di Bukit Antarabangsa.

“Keadaan ini sekali gus membantu melancarkan trafik di Jalan Wangsa 1,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat kebimbangan dibangkitkan pengguna termasuk insiden kemalangan yang berlaku dalam tempoh beberapa hari pertama pembukaan.

Katanya, laluan itu masih baharu dan pengguna mungkin memerlukan masa untuk membiasakan diri.

Dalam pada itu, beberapa penduduk menyuarakan kebimbangan terhadap reka bentuk selekoh tajam yang terbahagi kepada dua lorong menuju ke arah Gombak dan Taman Keramat.

Penduduk Ukay Perdana, Rosli Sharafuddin berkata pemandu perlu membuat keputusan lebih awal sebelum memasuki susur kerana ruang untuk menukar lorong di bahagian selekoh agak terhad.

“Had laju yang disyorkan ialah 25 kilometer sejam, namun saya memandu lebih perlahan kerana selekohnya sangat tajam,” katanya.

Difahamkan, reka bentuk asal pusingan U bertingkat itu telah dipinda susulan satu prosiding undang-undang beberapa tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Kamri berkata beliau akan terus memantau keadaan semasa bagi menilai keperluan penambahbaikan keselamatan sekiranya perlu.

Konsesi EKVE memaklumkan pembukaan jajaran itu bertujuan meningkatkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di persimpangan sedia ada, khususnya ke arah Gombak serta Lembah Keramat/Wangsa Maju.

Seksyen 1 EKVE merangkumi 16.8 kilometer jajaran utama dan 8.4 kilometer jalan susur melibatkan empat persimpangan bertingkat iaitu Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat dan Ampang sebagai sebahagian Laluan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR).

Manakala Seksyen 2 yang akan menghubungkan terus ke Ukay Perdana kini masih dalam pembinaan.