'Saya kenal tangan ibu', anak dakwa mangsa bayar RM7,000 sebelum dibunuh

14 Feb 2026, 1:45 AM
'Saya kenal tangan ibu', anak dakwa mangsa bayar RM7,000 sebelum dibunuh

SHAH ALAM, 14 FEB: Anak kepada wanita dibunuh dengan mayatnya dikerat tujuh mendakwa ibunya pernah membayar RM7,000 kepada bekas tunang bagi menamatkan pertunangan mereka sebelum tragedi ngeri itu berlaku.

Lelaki itu mendedahkan perkara berkenaan ketika sesi siaran langsung di TikTok, malam tadi, sambil memaklumkan pertunangan selama dua hingga tiga bulan itu sering dilanda pertengkaran.

"Disebabkan kerap bergaduh, ibu saya memutuskan untuk tidak meneruskan hubungan. Dia datang berjumpa keluarga dan bersetuju untuk berpisah, tetapi meminta RM7,000. Ibu saya bayar," katanya seperti dilapor NST.

Menurutnya, walaupun bayaran telah dibuat dan hubungan berakhir, lelaki berkenaan didakwa terus mengganggu ibunya menggunakan enam nombor telefon berbeza.

"Saya nasihatkan ibu supaya tidak lagi berhubung dengannya, walaupun sebagai kawan. Saya minta dia jauhkan diri sepenuhnya. Ibu bersetuju dan kata akan ikut nasihat saya demi kebaikan semua," katanya.

Beliau berkata, ibunya kemudian berkenalan dengan lelaki lain dan pasangan itu berkahwin bulan lalu.

Menurutnya lagi, sehari sebelum kejadian, ibunya keluar pada waktu petang untuk berjumpa seseorang.

"Saya tidak dapat hubungi ibu antara jam 5 hingga 6 petang. Panggilan dan mesej tidak berjawab, kemudian telefonnya dimatikan.

"Kami mula risau kerana biasanya dia akan telefon jika pulang lewat. Adik saya tidak dapat tidur malam itu dan cuba hubungi ibu setiap setengah jam hingga subuh," katanya.

Keesokan harinya, keluarga dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang wanita.

"Kami rasa tidak sedap hati, kemudian gambar anggota badan mangsa tular. Saya kenal tangan ibu saya. Itu tangan dia," katanya sambil menambah keluarga kemudian dipanggil untuk pengecaman mayat.

Anak mangsa berkata, mereka seterusnya memberikan keterangan kepada polis yang membawa kepada penahanan bekas tunang ibunya.

Terdahulu, mayat wanita berusia lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang secara berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai dekat Kota Kinabalu.

Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki mangsa pada jam 6.30 pagi sebelum operasi pencarian lanjut menemukan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 70-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu yang mencetuskan pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum insiden itu berlaku.