SHAH ALAM, 13 FEB: Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor tahun ini ditetapkan pada RM8, RM16 dan RM25 seorang, selaras dengan harga semasa beras di pasaran.
Mohd Khaidzir Shahari, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) berkata, penetapan kadar itu dibuat selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Katanya, penetapan kadar tersebut dibuat berdasarkan harga semasa beras di pasaran serta timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
“Kadar RM8 dikenakan kepada individu yang memakan beras biasa seperti Beras Super Spesial Tempatan dan Beras Putih Import.
“Bagi mereka yang memakan Beras Wangi, Beras Pulut, Beras Rebus atau Beras Perang, kadar ditetapkan RM16 seorang, manakala RM25 bagi individu yang memakan Beras Basmathi, Herba Ponni, Beras Jepun atau Calrose, Beras Merah serta Beras Hitam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagi memastikan urusan kutipan berjalan lancar sepanjang Ramadan, lebih 2,400 penolong amil fitrah (PAF) dilantik untuk bertugas di lebih 460 masjid dan surau di seluruh Selangor.
“Orang ramai dinasihatkan menunaikan zakat fitrah hanya kepada PAF yang dilantik secara rasmi,” katanya.
Menurut beliau, PAF di daerah Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak menggunakan aplikasi mudah alih sepenuhnya, dengan pembayar menerima slip bayaran secara digital serta-merta.
“Di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat pula, pembayaran masih menggunakan buku kupon fitrah, namun tetap disokong sistem aplikasi yang sama,” katanya.
Tambahnya, pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat secara tanpa tunai melalui aplikasi ZPay di lebih 200 premis terpilih menggunakan FPX, kad debit atau kredit, e-dompet serta kod QR DuitNow.
Umat Islam di Selangor digalakkan menunaikan zakat fitrah lebih awal supaya agihan kepada golongan asnaf dapat dilaksanakan sebelum Aidilfitri.


