SHAH ALAM, 12 FEB: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor hari ini memutuskan untuk mengimport sepenuhnya keperluan daging babi di negeri itu.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dalam kenyataan dikeluarkan hari ini memaklumkan yang setakat ini 70% keperluan daging babi bagi masyarakat bukan Islam di Selangor adalah diimport dari negeri-negeri lain.
"Selepas keputusan MMKN, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit," katanya.
Bagaimanapun, menurut Amirudin, sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen.
Sultan Selangor pada Isnin, 10 Februari lalu menyarankan kerajaan untuk memberi lesen pengimportan daging babi bagi menampung keperluan orang bukan Islam.
Menurut kenyataan dikeluarkan setiausaha sulit Baginda, kaedah itu bukan hanya menyelesaikan isu penternakan babi, malah tanah sedia ada boleh dimanfaatkan untuk pembangunan dan penempatan.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor berikutan kebimbangan berlaku pencemaran.
"Sultan Selangor menegaskan isu penternakan babi dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan semua pihak serta menjejaskan keamanan dan keharmonian kaum Cina.
"Oleh itu, semua pihak diseru untuk menghormati titah Baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat negeri ini," kata Dato' Mohamad Munir Bani.
Amirudin dalam kenyataan hari ini turut berkata yang keputusan itu dibuat bagi menjaga kebimbangan awam terhadap kesan alam sekitar dan meminta polemik isu babi dihentikan demi keharmonian masyarakat.
"Dengan keputusan ini, sebarang polemik berkaitan isu babi harus dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang mungkin bertujuan menggugat keharmonian dan menimbulkan perasaan syak wasangka di antara masyarakat negeri Selangor yang berbilang kaum dan agama."


