SHAH ALAM, 11 FEB: Seramai 124 penjawat awam Selangor menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), manakala 34 pesara dan bakal pesara dikurniakan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD).
Semua anugerah disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di sini, malam ini.
Dalam ucapannya, Amirudin berkata penerima anugerah dinilai bukan sahaja berdasarkan pencapaian individu, malah nilai profesionalisme, disiplin dan kecekapan dalam melaksanakan tugas.
“Kecekapan perkhidmatan awam adalah nadi dan kejayaan pada kemampuan negeri. Penjawat awam berdaya saing, berinovasi dan berintegriti tinggi merupakan aset penting memastikan agenda negeri dapat dilaksana.
“Penjawat awam merupakan penyampai secara langsung atau tidak langsung pada rakyat Selangor berhubung dasar kerajaan selain menangani pelbagai isu berbangkit.
“Tanpa penjawat awam, dasar diumum kerajaan dan pelbagai program dilaksana tidak dapat direalisasi. Ia sekadar di atas kertas sahaja yang hanya boleh dibanggakan, tidak sampai ke akar umbi,” katanya.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr Haniff Zainal Abidin.
Pada masa sama, Amirudin berharap penjawat awam terus meningkatkan daya saing dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar.
“Terus bergerak ke hadapan pada tahun ini dengan bekerja lebih keras dalam memastikan pencapaian negeri kekal cemerlang.
“Tahun ini kita perlu bekerja lebih kerana pelbagai penganjuran program antaranya Sukan Malaysia (SUKMA). Kita mahu cemerlang bukan sahaja dari segi prestasi tetapi menjadi penganjur yang baik,” ujarnya.




