Kerajaan kaji mekanisme sekat kad kredit asing beli RON95

9 Feb 2026, 9:34 AM
Kerajaan kaji mekanisme sekat kad kredit asing beli RON95

SHAH ALAM, 9 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji mekanisme menyekat penggunaan kad kredit asing bagi pembelian petrol RON95 bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat yang layak.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN juga akan mewujudkan peraturan baharu yang melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan dengan nombor pendaftaran asing, lapor Berita Harian.

"Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pemilik atau pemandu kenderaan berpendaftaran asing.

"Peraturan ini disasarkan siap dan berkuat kuasa bermula pada 1 April 2026," katanya semasa ucapan penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, katanya pemeriksaan di bawah Ops Samar juga akan dipertingkatkan di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti penyelewengan.

"Kementerian sememangnya memandang serius dakwaan wujud unsur ugutan atau pemerasan ke atas pengusaha stesen minyak menggunakan rakaman video.

"Tindakan sedemikian adalah kesalahan jenayah di bawah undang-undang lain dan pihak terlibat boleh membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). KPDN akan bekerjasama dengan PDRM sekiranya terdapat elemen penyalahgunaan peruntukan penguatkuasaan untuk tujuan ugutan," katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, sejumlah 1,006 laman web dikenakan tindakan halangan akses atas pelbagai kesalahan melibatkan promosi dan pengiklanan perniagaan transaksi secara dalam talian.

Menurutnya, tindakan itu hasil kerjasama KPDN, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan internet (ISP) pada tahun lalu.

"Dalam tempoh sama juga, sebanyak 695 iklan telah diturunkan hasil kerjasama dengan penyedia platform e-dagang.

"Seiring reformasi undang-undang dicadangkan, kerajaan mengambil pendekatan lebih bersepadu melalui kerjasama antara agensi serta pengukuhan peranan platform digital," katanya.