Isu rumah ibadat tidak sah bukan isu baharu, Putrajaya komited selesaikan

9 Feb 2026, 3:22 AM
Isu rumah ibadat tidak sah bukan isu baharu, Putrajaya komited selesaikan

PUTRAJAYA, 9 FEB: Isu rumah ibadat yang dibina secara tidak sah bukan perkara baharu dan dasar kerajaan mengenainya sudah berterusan sejak pentadbiran terdahulu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan yang pentadbiran semasa kekal komited bagi menangani perkara ini.

“Ini bukan perkara baharu. Ia seolah-olah baru timbul semalam, hanya kerana kes di bawah PMX jadi kacau-bilau. Hakikatnya, semua kerajaan sebelum ini, dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) hingga sekarang, dasar kerajaan itu berterusan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.

Tambahnya, walaupun kerajaan komited mencari penyelesaian adil kepada semua pihak terlibat, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan pematuhan undang-undang.

“Islam ialah agama Persekutuan, agama lain diberi hak masing-masing. Tetapi apakah kita boleh beri kebenaran kepada rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tak boleh, kerana kita ikut jalan hukum.

“Kalau di atas tanah orang, mana boleh kita buat ibadat dengan merampas tanah orang lain. Tanah yang tidak sah, dipaksa, dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tidak boleh dijadikan sah,” katanya lagi.

Anwar turut mengulas isu pembinaan esklator di Batu Caves, berkata yang ia adalah sah dan mempunyai kelulusan.

“Batu Caves itu sah. Cadangan bina eskalator tidak ganggu tanah orang, tidak rampas hak sesiapa dan bertujuan memudahkan masyarakat Hindu meneruskan amal ibadat mereka. Pandangan saya, cadangan itu boleh diteruskan dan telah saya sampaikan kepada Menteri Besar Selangor,” katanya.

Sebelum ini, isu eskalator kuil Batu Caves mencetuskan kontroversi selepas permohonannya ditolak kerana isu teknikal termasuk permohonan dibuat atas nama individu.