SHAH ALAM, 8 FEB: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan selepas merempuh lima kenderaan ketika cuba melarikan diri daripada polis di Kuantan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata kejadian berlaku jam 3.15 petang di Jalan Datuk Wong Ah Jang apabila suspek berusia 27 tahun dikesan memandu dari arah Jalan Gambut ke Jalan Semambu.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif dengan merempuh lima kenderaan yang berada di hadapannya akibat kesesakan lalu lintas sebelum meninggalkan kereta di tengah jalan dan cuba melarikan diri.
“Suspek bagaimanapun berjaya dikejar dan ditahan polis tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Ashari berkata hasil pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah dadah jenis pil yaba dan syabu dianggarkan bernilai RM2,300 di dalam kenderaan suspek.
Tambahnya, hasil saringan air kencing turut mendapati lelaki berasal dari Pekan itu positif dadah selain mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes sama.
Dalam kejadian itu, semua pemandu dan penumpang kenderaan yang dirempuh dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


