Tender kantin sekolah palsu: Syarikat rugi RM50,700 ditipu sindiket

8 Feb 2026, 4:07 AM
Tender kantin sekolah palsu: Syarikat rugi RM50,700 ditipu sindiket

SHAH ALAM, 8 FEB: Sebuah syarikat pembekalan peralatan pejabat mengalami kerugian RM50,700 selepas terpedaya dengan tawaran tender palsu membekalkan set meja dan kerusi kantin sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula apabila seorang eksekutif jualan syarikat berkenaan dihubungi individu tidak dikenali yang menawarkan tender pembekalan set meja dan kerusi kantin sebuah sekolah kebangsaan di Marang.

Menurutnya, suspek turut mencadangkan sebuah syarikat pembekal kepada mangsa, seorang wanita berusia 29 tahun, bagi melaksanakan pesanan pembekalan tersebut, lapor Kosmo!.

“Tanpa mengesyaki sebarang penipuan, mangsa bersetuju menerima tawaran tender itu sebelum membuat pesanan dengan syarikat pembekal yang disarankan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pembayaran berjumlah RM50,700 melalui pindahan ke akaun bank yang diberikan suspek sebagai bayaran tempahan, menggunakan wang syarikat.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas semakan lanjut mendapati tender berkenaan sebenarnya tidak pernah wujud,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.