SEPANG, 8 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengekalkan larangan dan sekatan terhadap pelantikan imam dari luar negara untuk memimpin solat tarawih di semua masjid dan surau di Selangor sepanjang Ramadan.
Pengerusinya, Dato’ Salehuddin Saidin berkata, peraturan berkenaan telah dikuatkuasakan sejak 2015 dan terus dipatuhi sehingga kini.
Menurut beliau, keputusan itu selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengambil berat terhadap kebajikan serta keupayaan anak-anak tahfiz tempatan, khususnya di Selangor.
“MAIS dan Sultan Selangor amat prihatin terhadap perkara ini kerana kita mempunyai ramai pelajar tahfiz tempatan yang mahir dalam hafazan al-Quran.
“Tidak timbul keperluan untuk membawa masuk imam dari luar negara dan membayar kos tambahan sedangkan kita mempunyai sumber tempatan yang berkelayakan,” katanya dipetik akhbar Kosmo!.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Hafazan al-Quran 30 Juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz 2025 di sini, semalam.
Salehuddin berkata, pemberian peluang kepada pelajar tahfiz tempatan untuk menjadi imam bukan sahaja membantu memakmurkan masjid dan surau, malah memberi pendedahan serta pengalaman kepada mereka pada usia muda.
“Langkah ini juga mampu membantu dari segi kewangan pelajar tahfiz selain memperkukuh peranan mereka dalam institusi masjid,” katanya.
Menurut beliau, Selangor mempunyai lebih 2,000 surau dan lebih 400 masjid yang boleh dimanfaatkan sebagai medan latihan dan khidmat bakti pelajar tahfiz tempatan.
Tambahnya, anak-anak tahfiz tempatan juga memiliki bacaan al-Quran yang baik dan wajar diberikan peluang yang sama untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Sebelum ini, Salehuddin turut dilaporkan berkata yang Selangor akan melaksanakan proses pemutihan sekolah tahfiz dan agama swasta secara berperingkat bagi memastikan pematuhan peraturan tanpa menjejaskan kelangsungan institusi pendidikan tersebut.
Pendekatan itu merangkumi semua kategori sekolah agama termasuk sekolah tahfiz, sekolah agama swasta dan institusi di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri.
Jelas beliau, aspek utama yang dinilai dalam proses tersebut melibatkan status pendaftaran, keselamatan, kesihatan dan zon operasi sekolah bagi memastikan institusi berjalan secara sah dan teratur.
“Apabila kita bercakap tentang pemutihan sekolah, ia sering melibatkan sekolah agama swasta kerana terdapat isu berkaitan pendaftaran, keselamatan, kesihatan dan juga 'zoning' yang perlu dipatuhi,” katanya.


