Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 satukan tekad, perkemas kesiapsiagaan parti

7 Feb 2026, 11:44 AM
Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 satukan tekad, perkemas kesiapsiagaan parti

SHAH ALAM, 7 FEB: Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 menjadi medan penyatuan tekad dan hala tuju perjuangan parti dalam memperkukuh agenda reformasi serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik akan datang.

Konvensyen berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati itu menghimpunkan kira-kira 2,000 anggota KEADILAN dari seluruh Selangor dan dihadiri Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, serta Naib Presiden KEADILAN merangkap Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi KEADILAN Selangor.

Dalam ucapannya, Amirudin menegaskan peranan KEADILAN Selangor sebagai antara tunjang utama kekuatan parti di peringkat nasional.

“KEADILAN Selangor mempunyai peranan yang sangat signifikan dalam perkembangan parti secara menyeluruh dan akan terus menjadi asas kekuatan utama parti,” katanya.

Antara barisan kepimpinan tertinggi KEADILAN yang menghadiri Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 pada 7 Februari 2026. Foto Facebook Parti Keadilan Rakyat

Beliau turut menggesa seluruh anggota memperkukuh jalinan politik di peringkat akar umbi bagi memastikan parti kekal relevan.

Pada konvensyen berkenaan, Amirudin turut melancarkan maskot rasmi KEADILAN Selangor, iaitu Beruang Matahari, yang dipilih sebagai simbol daya tahan dan sifat adaptif, selari dengan karakter rakyat serta negeri tersebut.

Dalam pada itu, Anwar dalam ucaptamanya menzahirkan penghargaan kepada anggota parti yang kekal setia dan teguh dalam perjuangan, selain menegaskan komitmen kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau turut menggesa semua pihak menyokong agenda membersihkan negara daripada rasuah dan penyelewengan, sambil menegaskan usaha tersebut tidak harus diperkecilkan.

“Tiada ruang buat mereka yang sekadar memperlekehkan usaha membanteras rasuah, berbanding memberi pandangan yang membina,” katanya.

Anggota KEADILAN menunjukkan semangat tinggi semasa Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 pada 7 Februari 2026. Foto Facebook Parti Keadilan Rakyat.

Sementara itu, Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan penganjuran konvensyen tersebut sebagai langkah awal untuk menyelaraskan gerak kerja parti di peringkat negeri.

Menurut beliau, usaha itu sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan dalam mempertahankan kemenangan serta sokongan rakyat di Selangor.

“Secara keseluruhan, Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 menjadi langkah awal menyelaraskan gerak kerja parti bagi mempertahankan kemenangan dan memperkukuh sokongan rakyat di negeri ini,” katanya.

Konvensyen tersebut turut diisi dengan pembentangan oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh, yang menyentuh Parlimen tumpuan serta prestasi semasa cabang.

Selain itu, pembentangan mengenai Undi 18 oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor serta penerangan program Sukma Waja oleh Ketua Wanita KEADILAN Selangor turut diadakan.