Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat: JBPM tidak tolak unsur penerokaan

5 Feb 2026, 12:22 PM
Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat: JBPM tidak tolak unsur penerokaan

SHAH ALAM, 5 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menolak kemungkinan berlakunya aktiviti penerokaan di Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan, Kuala Langat yang berpotensi menyebabkan kebakaran berskala besar.

Ketua Zon 5 (KLIA) JBPM Selangor, Mohamad Issmanto Md Pono berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan pemantauan, dengan faktor cuaca panas, kering dan berangin turut dikenal pasti sebagai penyumbang, lapor Sinar Harian.

“Namun, JBPM juga tidak menolak kemungkinan berlakunya aktiviti penerokaan tanah secara tidak bertanggungjawab bagi tujuan pertanian," katanya.

Menurutnya, operasi pemadaman yang memasuki hari ketiga melibatkan keluasan kira-kira 22.6 hektar, dengan 19 hektar berjaya dipadamkan manakala baki sekitar 3.6 hektar masih dalam tindakan.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak hasil tindakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dengan bantuan dua unit dron JBPM serta kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) meningkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan memandangkan HSKL Selatan berada di bawah pentadbiran jabatan berkenaan.

Operasi pemadaman di kawasan tanah gambut dijalankan menggunakan teknik ‘direct attack’, bekalan air daripada telaga tiub serta pembinaan parit pemutus api bagi mengawal kebakaran bawah tanah.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan kawasan hutan seluas kira-kira empat hektar berhampiran Loji Rawatan Air Sungai Kelambu, Banting terbakar pada tengah hari kelmarin.

Setakat semalam, 37 ekar berjaya dipadamkan pada hari kedua operasi.