SPRM tahan setiausaha NGO misi kemanusiaan Gaza, disyaki seleweng RM4.2 juta

5 Feb 2026, 9:12 AM
SPRM tahan setiausaha NGO misi kemanusiaan Gaza, disyaki seleweng RM4.2 juta

SHAH ALAM, 5 FEB: Setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) misi kemanusiaan Gaza ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana kira-kira RM4.2 juta.

Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, lapor Berita Harian.

Difahamkan, siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik sebuah syarikat makanan disyaki melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024.

Suspek dipercayai meluluskan dan memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua syarikat lain bagi tujuan pelaburan.

"Siasatan mendapati dalam syarikat itu terdapat individu dalam pengurusan persatuan dipercayai mempunyai kepentingan.

"Siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO itu sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi misi kemanusiaan di Gaza," kata sumber itu, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Mahkamah Majistret Putrajaya juga membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tiga hari sehingga Sabtu ini selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Ezrene Zakariah pagi tadi.