WHB baiki jalan tapak pelupusan, kurangkan kelewatan lori sampah

4 Feb 2026, 5:42 AM
WHB baiki jalan tapak pelupusan, kurangkan kelewatan lori sampah

SHAH ALAM, 4 FEB: Worldwide Holdings Bhd (WHB) melaksanakan kerja pembaikan segera di tapak pelupusan sampah Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat selepas hujan lebat berpanjangan pada penghujung tahun lalu merosakkan keadaan jalan.

Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri itu memaklumkan, pelarasan operasi turut dibuat bagi mengurus aliran kenderaan dengan lebih teratur, terutama pada waktu puncak, sekali gus mempercepatkan pergerakan lori dan mengurangkan kesesakan.

WHB berkata, hujan lebat sebelum ini menyebabkan pergerakan lori pengangkut sampah menjadi perlahan, namun aliran trafik kini kembali normal di luar waktu puncak dan dijangka terus bertambah baik.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada kenyataan Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir, yang menyatakan keadaan jalan di tapak pelupusan sebagai antara punca gangguan kutipan sisa di Selangor.

Menurut WHB, kesesakan di tapak pelupusan dijangka berkurangan apabila loji jana kuasa daripada sisa atau waste-to-energy (WTE) mula beroperasi.

“Loji WTE Jeram kini dalam proses ujian dan dijangka siap menjelang Mac ini, manakala loji WTE Tanjung Dua Belas dijangka siap pada 2027,” katanya.

Sebelum ini, Ramli berkata kekurangan jentera menyebabkan kelewatan sehingga tiga hingga empat jam apabila lori beratur, terutama ketika berlaku kerosakan peralatan.

Sebagai maklum balas, WHB menegaskan tapak pelupusan tersebut mempunyai kemudahan mencukupi dan penyelenggaraan berkala dilaksanakan bagi mengurangkan kelewatan serta gangguan operasi.

WHB turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan dan bekerjasama dengan KDEBWM bagi memastikan operasi dan perkhidmatan kutipan sisa berjalan lancar.