Polis giat kesan senjata diguna suspek tikam ibu

3 Feb 2026, 8:05 AM
Polis giat kesan senjata diguna suspek tikam ibu

SHAH ALAM, 3 FEB: Polis giat mengesan senjata yang dipercayai digunakan seorang lelaki untuk menikam ibunya hingga maut di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara di Alor Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, setakat ini usaha mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian pembunuhan eksekutif operasi bank itu masih diteruskan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak bersendirian ketika melakukan perbuatan menikam ibunya.

“Suspek mempunyai masalah panas baran dan siasatan awal kejadian ini dipercayai berpunca daripada masalah kewangan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 9 Februari ini bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilapor BH.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman di badan di kediamannya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di Alor Setar semalam.

Suspek berusia 29 tahun itu kemudiannya ditahan polis pada jam 8.34 malam tadi di dalam sebuah bas persiaran ketika dalam perjalanan menuju ke Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.