SHAH ALAM, 31 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan selamat menyambut Thaipusam kepada seluruh penganut Hindu sambil menekankan kepentingan nilai keharmonian dan saling hormat-menghormati.
Menurut beliau, Thaipusam merupakan perayaan yang sarat dengan makna pengorbanan, keinsafan serta kekuatan spiritual yang wajar dihargai oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Nilai kesabaran, disiplin dan ketekunan yang dizahirkan sepanjang ibadat ini wajar dihormati dan dihargai bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar turut berharap agar sambutan Thaipusam dapat dilaksanakan dengan penuh kesyukuran dan tertib, selain menjunjung adab serta nilai murni yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat.
Beliau berkata, ketertiban dan keharmonian yang dizahirkan setiap kali upacara keagamaan dan sambutan budaya di negara ini mencerminkan kematangan masyarakat dalam menghayati kepelbagaian.
“Hidup bersama dalam perbezaan bukan sesuatu yang asing, tetapi realiti yang telah lama membentuk jati diri Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri turut mendoakan agar sambutan Thaipusam membawa ketenangan jiwa kepada seluruh penganut Hindu serta terus menyuburkan semangat saling menghormati dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.


