SHAH ALAM, 31 JAN: Insentif tunai RM2,000 kepada pemilik kenderaan lama disifatkan terlalu kecil dan tidak cukup kuat untuk mendorong kebanyakan pengguna membeli kenderaan baharu, kata pakar automotif.
Pensyarah Pusat Penyelidikan Automotif Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Radzi Abu Mansor berkata, dari segi kos sebenar, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan memiliki kenderaan baharu yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
“RM2,000 hanya menampung sebahagian kecil kos pemilikan seperti bayaran ansuran, insurans, cukai jalan, penyelenggaraan dan susut nilai,” katanya.

Menurut beliau, keputusan menukar kenderaan lama bukan perkara mudah kerana ia melibatkan komitmen kewangan jangka panjang, terutama bagi pengguna yang berdepan kekangan kewangan dan hutang sedia ada.
“Dalam keadaan ini, insentif RM2,000 lebih kepada galakan awal atau isyarat dasar, bukannya faktor utama yang benar-benar mengubah keputusan pengguna,” jelasnya.
Mengulas isu keselamatan jalan raya, Dr Mohd Radzi mengakui kenderaan baharu menawarkan perlindungan lebih baik melalui ciri keselamatan seperti brek antikunci (ABS), kawalan kestabilan elektronik (ESC), beg udara dan struktur badan yang lebih kukuh.
Namun, katanya, penggantian semua kenderaan lama tidak boleh dilakukan dalam masa singkat kerana kosnya tinggi dan memerlukan tempoh peralihan.

“Oleh itu, langkah lebih realistik ialah penggantian secara berperingkat serta memastikan kenderaan sedia ada diselenggara dengan baik,” katanya.
Beliau menegaskan pemeriksaan brek, tayar dan servis berkala masih penting untuk mengurangkan risiko kemalangan sementara menunggu kemampuan membeli kenderaan baharu.
Menurut beliau, tanpa sokongan tambahan seperti nilai tukar beli yang lebih munasabah, kadar faedah rendah atau bantuan pembiayaan bersasar, insentif RM2,000 mungkin hanya memberi manfaat kepada mereka yang memang sudah merancang membeli kereta baharu.
“Dalam keadaan ini, dasar tersebut tidak menyelesaikan isu keselamatan jalan raya secara menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Mohd Radzi berpandangan dasar pelupusan kenderaan lama perlu dirangka secara berperingkat, berasaskan data dan mengambil kira kemampuan rakyat supaya keselamatan jalan raya dapat dipertingkat tanpa membebankan pengguna.

Sebelum ini, media melaporkan pemilik kenderaan berusia 20 tahun kini berpeluang menukar kenderaan lama kepada yang baharu menerusi Program Geran Padanan yang menyasarkan 5,000 pemilik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, menerusi program berkenaan, pemilik kenderaan jenama tempatan boleh menggantikan kenderaan lama mereka dengan kenderaan baharu yang lebih moden, selamat, cekap tenaga dan mesra alam.
Katanya, di bawah program tersebut, penerima layak menikmati geran padanan sehingga RM2,000 yang turut dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan.


