SHAH ALAM, 31 JAN: Pakar ekonomi menyifatkan cadangan Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk memperkukuh federalisme fiskal, termasuk menyalurkan lima peratus hasil cukai korporat kepada negeri-negeri, sebagai wajar dan mampu membantu menstabilkan kewangan negeri.
Bagaimanapun, mereka mengingatkan bahawa sebarang pelaksanaan perlu direka dengan teliti bagi mengelakkan risiko fiskal dan kewangan.
Bercakap kepada Media Selangor, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata adalah munasabah untuk negeri-negeri mempunyai autonomi yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi.
“(Cadangan itu) sememangnya masuk akal. Ia juga bermaksud akan ada perkongsian hasil antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Namun, Afzanizam menegaskan bahawa pelaksanaan mekanisme sedemikian bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan rundingan menyeluruh, memandangkan kerajaan Persekutuan dan negeri masing-masing bertanggungjawab kepada pihak berkepentingan serta keutamaan dasar yang berbeza.
Kerajaan Persekutuan khususnya perlu peka terhadap implikasi fiskal yang lebih luas, kerana penarafan kredit kedaulatan yang dinilai oleh agensi seperti Moody’s, Standard and Poor’s (S&P) dan Fitch memberi kesan sistemik kepada mata wang serta pasaran modal.
“Oleh itu, kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira kesan perkongsian hasil ini kerana ia membawa implikasi terhadap risiko kredit,” katanya.

Sebelum ini, ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Januari, Amirudin mengulangi gesaannya supaya kerajaan Persekutuan menyalurkan sebahagian hasil cukai korporat kepada negeri-negeri, bermula pada kadar sekitar lima peratus.
Beliau berhujah bahawa federalisme fiskal yang lebih kukuh diperlukan bagi menjamin kelestarian kewangan jangka panjang serta pembangunan infrastruktur di setiap negeri.
Ahli Parlimen Gombak itu turut menambah bahawa Selangor tidak boleh terus bergantung kepada hasil berasaskan tanah kerana tanah adalah terhad, dan kebergantungan berlebihan boleh menjejaskan keupayaan negeri untuk menyelenggara infrastruktur serta menyediakan perkhidmatan asas.


