SHAH ALAM, 28 JAN: Kerajaan Persekutuan, terutamanya Kementerian Kewangan, dicadang memperkukuh federalisme fiskal dengan berkongsi sebahagian cukai pendapatan syarikat kepada negeri bagi meningkatkan sumber kewangan dan menyokong pembangunan infrastruktur.
Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Amirudin Shari, mencadangkan perkongsian cukai bermula dengan kadar sederhana sekitar lima peratus sebagai permulaan.
“Negeri-negeri seperti Selangor adalah sebuah sebuah negeri yang tidak bergantung kepada hasil petroleum. Hampir 70 peratus hasil kebanyakan negeri adalah berasaskan daripada premium tanah. Namun begitu tanah ada keterhadannya.
“Lama-kelamaan jika negeri terpaksa lama bergantung kepada hasil tanah tanpa kaedah lain akan merisikokan perjalanan dan kemampuan negeri untuk menyelenggara dan mengukuhkan kepentingan infrastruktur,” katanya dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, Kementerian Kewangan menganggarkan kutipan cukai pendapatan syarikat mencecah RM97 bilion tahun ini, dengan lima peratus bersamaan RM4.85 bilion.
“Jika angka ini diagihkan mengikut jumlah dan peratus syarikat yang berdaftar di setiap negeri, saya percaya ia mampu untuk membantu negeri menggerakkan dan membantu pengembangan industri-industri, terutama yang berkaitan dengan SME yang memerlukan pemberdayaan dan pemerkasaan.
“Pada masa sama, usaha kerajaan memperkukuhkan reformasi pentadbiran seperti pengehadan dua penggal untuk perdana menteri, pengasingan kuasa pendakwaan dan juga AG (Peguam Negara) serta beberapa usaha-usaha lain, saya percaya pembaharuan berterusan yang dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh perdana menteri dan juga Kerajaan Madani pada hari ini, boleh diteruskan dengan memperkukuhkan nilai federalisme fiskal ini,” katanya.


