SHAH ALAM, 30 JAN: Misteri kehilangan seorang wanita sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemui di sebuah rumah teres di Taman Damai II, Batu Pahat, Johor, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 41 tahun itu disyaki dibunuh oleh teman lelakinya dengan muka ditekap menggunakan bantal. Mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 1 pagi selepas polis menyerbu rumah berkenaan, lapor Harian Metro.
Ketika serbuan, polis menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu, manakala suspek berusia 44 tahun pula mengalami kecederaan di leher dan lengan kiri, dipercayai akibat perbuatan sendiri.
Difahamkan, suspek yang juga penganggur dipercayai membunuh mangsa pada pagi Selasa lalu sebelum mayatnya ditemukan awal pagi tadi.
Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini membenarkan suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A. Rahman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Prosiding reman dijalankan di HSNI memandangkan suspek masih menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.


