SHAH ALAM, 30 JAN: Kebakaran di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Cemerlang, Sungai Tangkas, Kajang berlaku sekali lagi, dengan kejadian terbaharu turut melibatkan wayar kamera litar tertutup (CCTV) yang dipotong pihak tidak bertanggungjawab.
Timbalan Penguasa Bomba II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi, Khairuddin Jamaluddin berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pencari sampah yang membakar sisa bagi mendapatkan tembaga dan wayar, selain dipengaruhi cuaca panas dan ketiadaan hujan hampir dua minggu.

“Kebakaran melibatkan tapak pembuangan sampah haram di kawasan lereng yang mempunyai anak sungai di bahagian bawah dengan tahap kebakaran dianggarkan mencecah 80 peratus, membabitkan sisa domestik serta sisa binaan.
"Operasi pemadaman kebakaran mengambil masa selama tiga hari dengan kekuatan seramai 16 anggota, sebelum kerja pemadaman berjaya diselesaikan sepenuhnya pada 28 Januari lalu,” katanya kepada Media Selangor.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menerusi Facebooknya memaklumkan tapak pembuangan sampah haram di Sungai Tangkas terbakar pada 26 Januari lalu selepas beberapa bulan tidak terjadi.
Katanya, pemasangan CCTV turut diletakkan di kawasan berkenaan untuk memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan namun, pada hari kejadian tidak menemukan sebarang bukti susulan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang merosakkan alatan itu.
Pada 27 Jun tahu lalu, Media Selangor melaporkan masalah tapak sampah haram dan pembakaran terbuka di sekitar Sungai Tangkas, terus berulang.
Syahredzan berkata isu yang berlarutan sejak sekian lama itu memerlukan penyelesaian yang menyeluruh dan mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup bagi membantu pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

Pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 baru-baru ini, Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk membanteras tapak pembuangan sampah haram, termasuk turun padang sendiri ke lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas.
Beliau turut memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol, selain mengarahkan KDEB Waste Management memperkukuh kerjasama bersama semua pihak berkuasa tempatan.


