Dakwaan rasuah: KP, timbalan KP Jabatan Alam Sekitar direman tujuh hari

30 Jan 2026, 4:35 AM
Dakwaan rasuah: KP, timbalan KP Jabatan Alam Sekitar direman tujuh hari

SHAH ALAM, 30 JAN: Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah dan seorang penolong pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) masing-masing direman tujuh hari hingga Khamis depan, berkaitan siasatan isu pengurusan sisa elektronik (e-sisa).

Seorang lagi orang awam pula direman tiga hari hingga Ahad ini membabitkan siasatan sama.

Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman terhadap semua suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, lapor Berita Harian.

Terdahulu, keempat-empat suspek termasuk Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS itu tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini, bagi pendengaran perintah reman susulan penahanan mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan isu pengurusan e-sisa.

Semua mereka berpakaian lokap warna jingga dan bergari tiba kira-kira jam 9 pagi diiringi pegawai SPRM.

BH semalam melaporkan, Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS ditahan sekitar jam 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Difahamkan, siasatan SPRM kini menumpukan kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-sisa yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Penahanan mereka disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, kedua-dua mereka disiasat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009.